RAUB – “Saya mahu ubah nasib keluarga,” itulah kata-kata penuh tekad Noor Hafisah Ismail, 18, pelajar Sekolah Menengah Agama Al-Ulum Addiniah, Dong dekat sini yang meraih keputusan cemerlang 8A+ dan 1A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Noor Nafisah yang berasal dari Kampung Melayu Jerkoh, Lipis berkata, biarpun hanya dibesarkan dalam keluarga serba kekurangan, namun dia ingin membuktikan bahawa kemiskinan bukan penghalang untuk berjaya dalam akademik.
Dia berkata, ibu bapanya, Ismail Samad, 58, dan Radiah Ismail, 56, hanya bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan sekitar RM800 sebulan, namun tidak pernah mengabaikan pendidikan anak-anak.
“Saya selalu terfikir, kalau saya tidak berusaha dan berjaya, siapa lagi yang akan bantu keluarga kami keluar daripada kesusahan ini.
“Selain itu saya juga ingin membuktikan kemiskinan bukan penghalang untuk kita beroleh keputusan cemerlang dalam pelajaran,”katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Menurut anak bongsu dari dua beradik itu, kejayaan tersebut bukanlah hasil usaha sehari dua, sebaliknya merupakan hasil kerja keras berterusan sepanjang lima tahun persekolahan.
Sementara itu, ibunya, Radiah tidak dapat menahan sebak apabila menerima berita gembira itu selepas semakan keputusan dibuat secara dalam talian.
Katanya, anak bongsunya itu sentiasa menunjukkan minat mendalam terhadap pelajaran dan tidak pernah lalai walaupun hidup dalam serba kekurangan. -KOSMO! ONLINE.