KUALA LUMPUR – Memberi sepenuh kebebasan, pelakon Edika Yusof mengakui menyedari tindak-tanduk isterinya Nor Hidayah yang didakwa ‘bergayut’ di telefon dengan lelaki lain.
Katanya, banyak lagi perkara berkenaan tingkah laku teman hidup yang dikahwini sejak 22 tahun lalu itu sampai ke pengetahuannya namun hanya dipendamkan sahaja.
“Saya bagi dia kebebasan, boleh keluar rumah dan sebagainya malah kalau ada masalah, dia boleh mengadu kepada adik-beradiknya.
“Memang saya juga ada dengar dia bercakap dalam telefon dengan lelaki lain sampai pagi. Kalau nak cakap, banyak saya boleh cerita,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, semalam.
Luahan itu susulan dakwaan segelintir netizen dalam media sosial mengatakan Nor Hidayah memfailkan permohonan cerai pada Februari lalu disebabkan kecurangan dilakukan Edika.
Menangkis lagi dakwaan dilemparkan, secara peribadi hakikatnya dia menegaskan antara mereka tiada sebarang perkara untuk disembunyikan.
“Antara kami tiada rahsia. Isteri saya pun boleh akses telefon bimbit saya, jadi mana datangnya desas-desus sebegitu?
“Tapi apa pun terpulang kepada orang untuk bercakap apa sebab mereka tak berada dalam kasut kami,” ujarnya.
Pada masa sama, bapa kepada dua anak itu turut menafikan dakwaan Nor Hidayah yang mengatakan dirinya dikasari.
Kata Edika lagi, walaupun ada memarahi isterinya sebelum ini, dia sentiasa akur mengikuti kemahuan wanita terbabit.
“Kadangkala saya naik suara, tetapi tak adalah sampai mendera dan sebagainya. Saya marah pun sekadar mahu mendidik,” kongsinya.
Semalam Edika hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan bagi sebutan semula kes permohonan cerai yang difailkan Nor Hidayah.
Susulan itu, mahkamah kemudian menetapkan 5 Mei ini sebagai prosiding lafaz cerai selepas Nor Hidayah berada dalam keadaan tidak suci.
Kata pelakon filem Maria Mariana itu, demi kebaikan kedua-dua pihak dan keluarga, dia bersetuju memenuhi kehendak isterinya walaupun masih kental rasa sayang.
“Apabila anda sayangkan seseorang, kemudian lepaskan, tidak bermakna anda tewas. Dalam perceraian ini tiada siapa menang sebab ini bukan pertandingan. Ini pengadilan, sebab mahkamah pun sudah nasihat demi kebaikan bersama.
“Pada saya, ini satu kebaikan. Saya pun lega, sebab sebelum ini setiap hari saya risau sebab isteri asyik desak mahu bercerai.
“Saya fokus sahajalah kerja saya dan teruskan kehidupan. Tak ada masalah. Saya ini lelaki, apa yang berlaku saya ‘telan’, hanya mampu mohon maaf dan luahkan pada Tuhan sahaja,” katanya.
Edika dan Nor Hidayah bergelar suami isteri pada 2003 dengan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Fardeen Nasrulhaq, 21 dan Fereena Nurulhaq, 20. – KOSMO! ONLINE