PETALING JAYA – “Bila masa pula ada ‘bodyguard’? Itu pemandu saya sebab saya tak pandai memandu.”
Demikian penegasan penyanyi Hael Husaini yang menafikan dirinya kini dikawal rapi seorang pengawal peribadi sebaliknya individu terbabit merupakan pemandu peribadinya.
Menurut Hael atau nama lengkapnya Hal Husaini Razmi, 32, tujuan mengupah pemandu pengambilan pemandu kereta diambil bagi memastikan dirinya tiba di destinasi tepat pada waktunya.
“Kalau banyak ‘show’ (persembahan), kena berada di tempat kejadian tepat pada waktunya supaya semua klien saya berpuas hati.
“Jadi, sebab itu saya hanya ada pemandu kereta bagi menjaga masa saya,” katanya kepada Kosmo! Online, semalam.
Pelantun lagu Diam itu yang ditemui di majlis rumah terbuka Hael Husaini & Nadeera X Huge Entertainment House memaklumkan tidak memerlukan khidmat pengawal peribadi buat masa sekarang.
“Buat masa ini, saya belum lagi ada ‘bodyguard’. Kalau nak ikutkan mungkin ada beberapa majlis yang memerlukan penjaga tetapi kalau melibatkan jenama-jenama besar yang mungkin memerlukan penjagaan dari segi barang peribadi saya.
“Waktu itu mungkin saya memerlukan khidmat-khidmat mereka (pembantu peribadi) untuk menjaga barang-barang di situ.
“Bila ada majlis yang memakai barang-barang yang berharga lebih daripada apa yang saya mampu dan memerlukan ‘bodyguard’ untuk menjaga barang,” jelasnya.
Sebelum ini, timbul desas-desus Hael mempunyai pengawal peribadi selepas beberapa ternampak kelibat seorang lelaki yang sering menemaninya ke mana-mana acara. – KOSMO! ONLINE