PETALING JAYA – Perdana Menteri mengucapkan tahniah kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang memperoleh keputusan cemerlang.
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi calon kurang bernasib baik dalam peperiksaan tersebut tidak perlu berputus asa.
“Teruskan usaha dan tekad kalian untuk menuntut ilmu ke peringkat lebih tinggi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Perdana Menteri, Kerajaan Madani sentiasa bekerja kuat membantu pelajar Malaysia melalui sistem pendidikan tinggi yang berkualiti.
Ujar beliau, inisiatif Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) membuka laluan alternatif ke arah masa depan yang lebih cerah. – KOSMO! ONLINE