PETALING JAYA – Didakwa kurus menggunakan ‘jalan pintas’, penyanyi Nadeera menafikan tuduhan sebilangan pihak kononnya dia melakukan pembedahan bariatrik sebaliknya menjalani diet secara sihat sejak beberapa bulan lalu.
Kata Nadeera atau nama lengkapnya Farah Nadeera Zaini, 32, berat badannya tidak turun secara mendadak seperti sangkaan ramai.
“Macam orang kata saya semakin mengecil, sebenarnya memang saya sudah beberapa bulan cuba untuk menurunkan berat badan.
“Dakwaan yang mengatakan saya ‘potong-potong’ (pembedahan) tidak benar. Janganlah buat benda-benda macam itu, lebih baik kita jaga kesihatan dengan mengamalkan secara sihat dengan tidak mengambil sebarang gula untuk beberapa bulan.
“Saya rasa tidaklah drastik sangat sebab nak turunkan berat badan ini mengambil masa yang agak lama juga untuk saya. Dalam lapan bulan ke enam bulan untuk saya turunkan betul-betul berat badan saya daripada 52 kilogram (kg) kepada 42kg,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis rumah terbuka Hael Husaini & Nadeera X Huge Entertainment House.
Tambahnya, perubahan penurunan berat badan bukan sahaja memberi kesan kepada fizikal, tetapi juga membantunya tampil lebih yakin serta memberi kelebihan dalam nyanyian.
“Bukan sahaja lebih bertenaga tetapi saya lebih yakin. Macam saya yang selalu berdepan dengan kontroversi-kontroversi dulu namun sampai sekarang alhamdulillah orang kata lebih berkeyakinan.
“Cara melontarkan vokal lebih mudah dan ‘curi nafas’ dalam nyanyian sebab saya rendah, bila badan besar pun tidak baik dan tak bagus untuk kesihatan juga.
“Ada satu hari itu, saya perasan pernafasan dan nyanyian saya tak sampai. Orang kata macam mengah. Jadi dari situ saya rasa memang kena kurangkan berat badan juga,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Nadeera turut mengumumkan bahawa dia bakal mengadakan sebuah persembahan istimewa yang menampilkan lapan hingga 10 lagunya di Nero PJ Park pada 30 Mei 2025. – KOSMO! ONLINE