fbpx

Barbarik kembali dengan konsert Pentas Peluru Cokelat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Barbarik bakal mengegarkan Zepp Kuala Lumpur dengan konsert Pentas Peluru Cokelat yang akan berlangsung pada 28 Jun depan.

PETALING JAYA – Kumpulan Barbarik bakal mengegarkan Zepp Kuala Lumpur dengan konsert Pentas Peluru Cokelat yang akan berlangsung pada 28 Jun depan.

Konsert tersebut diadakan sempena kelahiran album sulung mereka Peluru Cokelat yang dilancarkan pada 9 November tahun lalu.

Barbarik yang dianggotai oleh Muss (vokalis), JoBranko (gitar), Rozaimi (bass) dan Ainol (dram) teruja untuk kembali bertemu peminat selepas kejayaan empat buah konsert sebelum ini.

“Jika sebelum ini kami mendendangkan lagu-lagu ketika Muss bersama Wings iaitu dalam enam buah album, tetapi pada tahun ketiga penubuhan Barbarik kami ada buah tangan baharu yang menampilkan identiti Barbarik itu sendiri.

“Setiap konsert pasti mempunyai perbezaan dan terdapat elemen kejutan pada pembukaan, pertengahan dan penutup konsert. Kami memberi jaminan kepada semua peminat, konsert ini bakal menguji andrenalin anda secara total dari mula hingga akhir.

“Konsert akan berlangsung selama dua jam dan kami akan mendendangkan sekitar 20 buah lagu, termasuk lagu lama dan juga lagu baharu.

“Apa yang boleh kami janjikan adalah sebuah persembahan yang membuatkan penonton tidak berganjak walau sedikit pun,” kata JoBranko yang sebelum ini dikenali sebagai Joe Wings.

Menyentuh tentang album Peluru Cokelat, kata JoBranko album berkenaan adalah tanda serius mereka dalam industri muzik.

“Tujuan kami menghasilkan album Peluru Cokelat adalah untuk menandakan bahawa kami serius sebagai sebuah band. Bukan sekadar sebuah projek band atau mengambil kesempatan atas sejarah kami.

“Dengan ada material baharu, kami dapat bergerak dan menyusun strategi dengan lebih kemas untuk terus berada dalam radar muzik tempatan,” jelas JoBranko tentang album yang mengandungi tujuh buah lagu itu.

Mengimbas sejarah, Barbarik terhasil daripada konsert Barbarik Pentas Keras 1.0 pada 2022 yang diadakan bagi mengubati kerinduan peminat untuk melihat gandingan JoBranko dengan Muss.

JoBranko dan Muss pernah bergandingan bersama kumpulan Wings dalam enam buah album dari tahun 1996 hingga 2000.

Konsert Pentas Peluru Cokelat yang akan berlangsung pada 28 Jun pada pukul 8.30 malam itu dibawakan oleh Karri Talk Production dengan penganjuran bersama Pentas Barbarik Sdn. Bhd.

Tiket konsert berharga RM150, RM 280, RM380 dan RM8,000 (Vip Box) boleh dibeli menerusi laman web, ilassotickets.com.- KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI