PETALING JAYA – Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 menyaksikan 31 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mencatatkan Gred Purata Maktab (GPM) bawah 2.0 disifatkan sebagai luar biasa.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebanyak dua buah MRSM juga antara sekolah terbaik bagi keputusan SPM 2024 dengan Gred Purata 1.261 dan 1.312.
“Tahniah MRSM Kuala Kubu Bharu dan MRSM Ulul-Albab Kepala Batas antara sekolah terbaik Malaysia SPM. Luar biasa (sebanyak) 31 MRSM catat GPM bawah 2.0,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini mengumumkan seramai 14,179 daripada 402,918 calon SPM 2024 berjaya memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.
Keputusan itu merupakan keputusan SPM terbaik direkodkan calon sejak syarat pensijilan dimulakan KPM. bermula 2013.
“Apa jua keputusan, terima dengan penuh kesyukuran. SPM bukanlah pengakhiran kehidupan tetapi permulaan kepada perjuangan yang lebih besar,” kata Asyraf Wajdi. – KOSMO! ONLINE