PETALING JAYA – Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menafikan tuduhan menerima bayaran sebagai penyanyi jemputan pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berlangsung baru-baru ini.
Menurut Siti, 46, kehadirannya tidak dibayar oleh mana-mana pihak dan menyanyi bagi meraikan warga kerja KKM pada majlis tersebut.
“Saya hadir ke majlis KKM sebagai tetamu, bukan artis yang diundang membuat persembahan. Menyanyi kerana saya mahu menghargai dan warga KKM, atas rela hati dan tanpa bayaran.
“Saya tidak mahu lebih ramai memanjangkan fitnah apabila nama saya dipetik dalam sebuah laporan berita atas persembahan saya pada majlis semalam (kelmarin).
“Penjelasan ini penting supaya anda tidak membuat penulisan, berita dan menyebarkan nama atau gambar saya dengan sesuatu yang tidak sahih beritanya,” katanya dalam sebuah hantaran Instagram.
Tegas Siti, penjelasan tersebut dilakukan kerana bagi membersihkan namanya selepas dakwaan tidak benar itu mula tular dalam media sosial.
Dia juga berkata, tuduhan tersebut juga akan menjadi fitnah besar sekiranya tidak dihentikan segera.
“Saya anggap ini bukan hal kecil cerita ini ditulis dalam berita, portal dan media sosial kemudian anda muat naik status pula, tulis komen sebelum bertebaran.
Ini harus saya hentikan.
“Anda nak menuding jari atau menzahirkan rasa, pandangan atau sesuatu berkaitan mana-mana badan, jabatan dan sebagainya, jangan kaitkan atau bangkitkan sesuatu yang akhirnya menjadi fitnah.
“Saya pula antara yang diperkatakan dan jadi mangsa tohmahan secara tak langsung.
“Saya dengan rela hati membuat persembahan (tidak diundang atas kapasiti artis yang membuat persembahan),” ujarnya.
Pelantun lagu Badarsila mengingatkan kepada semua pihak agar tidak sewenang-wenangnya mencipta spekulasi sendiri dalam mana-mana pelaporan berita tanpa mengetahui perkara sebenar.
Ujarnya, fitnah yang ditabur mampu memberi implikasi negatif terhadap kerjaya seseorang.
“Saya hanya ingin menghiburkan semua yang ada semalam, malah turut ke majlis lain dan kebanyakan tahu, saya akan menyanyi jika keadaan mengizinkan.
“Kepada semua yang menyampaikan hal palsu ini, baik media, individu, netizen, saya berharap agar anda sedar akan implikasi fitnah kepada seseorang.
“Pastikan sesuatu yang sahih baru menulis kerana fitnah, komen, petikan nama, gambar, ulasan yang tidak benar ini memberikan implikasi yang sangat tidak baik.
“Walhal saya seikhlas hati menghiburkan tanpa bayaran pada majlis yang diperkatakan itu,” tegasnya.
Terdahulu, sebuah portal berita membuat laporan berita mendakwa KKM menerima kritikan hebat susulan penganjuran majlis sambutan hari raya secara besar-besaran kelmarin.
Segelintir pihak mempersoalkan bajet perbelanjaan KKM untuk majlis rumah terbuka itu selepas tular video dan foto sambutan majlis tersebut dalam media sosial termasuk persembahan Siti dan Datuk Jamal Abdillah. – KOSMO! ONLINE