fbpx

Ketua pembantu tadbir sekolah didakwa ‘curi’ RM100,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. KHAIRUL diiringi anggota SPRM sejurus selesai pertuduhan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini. - Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Seorang ketua pembantu tadbir sekolah menengah kebangsaan di Pontian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 20 pertuduhan membuat tuntutan palsu melibatkan jumlah lebih RM100,000, empat tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Khairul Md. Khalid, 42, tahun, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan suatu dokumen dengan
niat hendak memperdayakan prinsipal dengan invois berjumlah antara RM1,170 hingga RM7,920 bagi pembekalan modul latih tubi pembelajaran dan pengajaran (P&P) kepada pelajar sekolah terbabit.

Tertuduh mempercayai dokumen tuntutan tersebut mengandungi butiran matan palsu iaitu tuntutan pembayaran bagi pembekalan barangan cetakan modul latih tubi P&P yang sebenarnya pembekalan tersebut tidak dilakukan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sekolah berkenaan antara 1 Mei 2021 hingga 1 Mei 2022.

Kesemua pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(2) akta sama.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Di kamar yang sama, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas 20 pertuduhan pilihan menggunakan satu dokumen tulen membabitkan jumlah invois dan tuntutan sama, sedangkan dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu.

Bagi pertuduhan pilihan, lelaki itu didakwa mengikut seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Rais Adha Ramli manakala tertuduh diwakili oleh peguam Awang Armada Jaya Awang Mahmud.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin, masing-masing bagi 20 pertuduhan dan 20 pertuduhan pilihan yang dikenakan terhadapnya selain perlu melapor diri di ibu pejabat SPRM setiap bulan.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 23 Jun depan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI