fbpx

Insentif RM200 juta kekal sawah, RM1 bilion projek tingkat hasil padi – Sanusi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi. -Foto WARTA KEDAH

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menjelaskan permohonan insentif khas RM200 juta kerana mengekalkan tanah sawah di negeri itu adalah berbeza dengan peruntukan RM1 bilion diluluskan Kerajaan Persekutuan.

Kata beliau, insentif khas RM200 juta itu adalah berkaitan kehilangan hasil daripada cukai tanah akibat pengekalan kawasan tanah padi yang cukai tanahnya rendah.

“RM1 bilion itu pula adalah berkaitan projek tertier dan pembaikan Empangan Pedu. Dalam pakej yang sama juga akan ada Jeniang Transfer, itu belum diumumkan lagi.

“Itu semua tentang projek infrastruktur pengairan padi untuk meningkatkan hasil padi bukan untuk meningkatkan cukai tanah sawah padi,” katanya pada sidang akhbar selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Katanya, kerajaan negeri mengalami kekurangan hasil disebabkan pengorbanan mengekalkan kawasan padi berikutan cukai tanah yang rendah.

“Itu sahaja yang kita kemukakan. Projek itu bukan kita tidak mahu, kita mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan hasil pengeluaran padi dengan membangunkan infrastruktur terkini,” ujarnya.

Menurutnya, insentif khas RM200 juta boleh digunakan untuk pengurusan negeri berikutan jumlah rakyat yang semakin bertambah serta gaji semakin meningkat.

“Bukan kita perlu RM200 juta, kita perlu lebih daripada itu lagi, jadi kita sasarkan pada tahun 2028 cukai yang kita nak kutip RM1 bilion,” katanya.

Tambahnya, pihaknya akan terus mengadakan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan berhubung permohonan RM200 juta itu.

Kosmo! semalam melaporkan Kedah akan tetap memohon RM200 juta bagi mengekalkan kawasan sawah padi, berbanding RM41 juta seperti dicadangkan PLANMalaysia menerusi Pelan Induk Perancangan Guna Tanah Kawasan Sumber Makanan Negara (KAGUMN) yang disifatkan terlalu rendah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian menjelaskan kerajaan sudah meluluskan RM1 bilion untuk merancakkan produktiviti pengeluaran padi di Kedah.

Kata Perdana Menteri, peruntukan tersebut diberikan secara berterusan termasuk sebagai insentif khas untuk Kedah mengekalkan kawasan jelapang padi bagi menjamin bekalan beras negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI