PETALING JAYA – Kenaikan harga santan sehingga RM20 sekilo sejak Ramadan lalu membuatkan peniaga yang menggunakan bahan itu untuk masakan tidak ada pilihan selain menaikkan harga makanan.
Rata-rata peniaga mahu menaikkan harga makanan yang dijual antara 20 sen hingga RM1 kerana tidak tahan harga santan yang semakin naik.
Di Melaka, seorang pengusaha dodol dan wajik di Umbai, Asiah Ali, 45, berkata, dia tiada pilihan selain menaikkan harga jualan sebanyak 10 peratus bagi menampung kenaikan harga santan yang melebihi RM12 sekilo.
“Kalau kekalkan harga lama, saya pula yang rugi. Mujur pelanggan faham sebab semua peniaga pun hadapi masalah sama,” ujarnya.
Seorang peniaga lemang di sini terpaksa menaikkan harga lemang sehingga RM25 sebatang kerana kos harga santan naik.
Di Gua Musang, Kelantan pula, seorang peniaga nasi di Bandar Lama di sini, Hasnah Awang, 52, berkata, dia terpaksa menaikkan harga nasi gulai ayam daripada RM4 kepada RM5 di kedainya selepas bulan Ramadan akibat harga santan yang mahal.
“Sekarang ini bukan senang nak dapatkan bekalan santan yang murah. Setiap hari saya terpaksa membeli dan menggunakan lima kilogram santan dalam masakan.
“Ketika ini harga santan antara RM17 hingga RM18 berbanding hanya RM12 hingga RM13 sekilogram sebelum ini,” katanya.
Di Pulau Pinang pula, seorang pengusaha kuih di Teluk Kumbar, Norsyakila Norzaini, 35, berkata, dia terpaksa menaikkan harga bagi sebiji kuih nona manis, sepotong kuih talam dan bengkang gandum daripada 60 sen kepada 80 sen sepotong.
“Bayangkan, bekalan santan yang asalnya dijual pada harga RM15 sekilogram (seminggu sebelum sambut Aidilfitri) kini sudah naik sehingga RM17 sekilogram,” ujarnya.
Di Terengganu pula, seorang peniaga nasi berlauk, Wan Sharina berkata, dia terpaksa menaikkan harga lauk berasaskan santan antara 50 sen hingga RM1 sesenduk bagi mengimbangi kenaikan harga santan.