KUALA TERENGGANU – Kongres Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) kesal sikap segelintir penjawat awam yang mengeluarkan komen jelik termasuk terhadap kerajaan di media sosial.
Presiden Cuepacs, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, perbuatan tersebut bukan sahaja tidak profesional dan tidak menyelesaikan isu pokok, malah dikhuatiri boleh menjejaskan imej sektor perkhidmatan awam keseluruhannya.
“Majikan kami (penjawat awam) adalah kerajaan yang sentiasa mendengar keluh-kesah dan memberi ruang terbuka (terhadap) pandangan penjawat awam. Sebahagian permintaan kita sudahpun dipenuhi.
“Cuepacs tiada tolak ansur dengan komen-komen jelik (penjawat awam) kepada majikan sendiri (kerajaan) malah menyokong sebarang tindakan disiplin oleh ketua perkhidmatan,” katanya pada majlis Syawal Ceria Madani anjuran Cuepacs Terengganu di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada 21 April lalu untuk menyiasat dua anggotanya yang disyaki membuat hantaran komen jelik di media sosial baru-baru ini.
Sehubungan itu, Adnan menyeru semua penjawat awam bersikap profesional dengan setia kepada majikan iaitu kerajaan tanpa mengira pegangan dan fahaman politik masing-masing.
“Sebaiknya tumpulah kepada kerja masing-masing dengan mengukuhkan produktiviti dan integriti supaya memberi pulangan terbaik kepada rakyat, kerajaan dan negara setimpal dengan kenaikan gaji (baru-baru ini).
“Komen jelik (di media sosial) tidak membantu kira sebaliknya boleh memberi imej tidak baik kepada perkhidmatan awam,” katanya. – KOSMO! ONLINE