RAWANG – Sebuah kereta keluaran Mazda bakal menjadi rebutan untuk pemain yang melakukan Hole-in One pada kejohanan utama yang bakal diadakan di Kelab Golf Tasik Puteri dengan kerjasama Bermaz Motor Trading Sdn. Bhd. esok.
Pengarah Pemasaran Bermaz, Lee Ai Hoon berkata, hadiah itu akan membawa keseronokan dan prestij tambahan kepada permainan kompetitif.
Katanya, kerjasama itu juga bakal memacu pertumbuhan kelab selain percaya dalam pengalaman memandu yang melampaui jangkaan dan bersama menyokong pertumbuhan sukan golf serta membawa impak positif kepada masyarakat.
“Sehubungan itu, Bermaz menandatangani kerjasama dan menyumbang RM100,000 sebagai tanda menyokong pembangunan kelab.
“Ia komitmen untuk memupuk penglibatan komuniti dan mempromosi kecemerlangan sukan di Greater Klang Valley sambil mengukuhkan misi kelab untuk meletakkan diri sebagai kemudahan golf awam yang terulung di Malaysia,” katanya.
Menurut Ai Hoon, pihaknya juga bersedia untuk menganjurkan semula Golf Amal Yayasan Fertiliti Tunku Azizah pada tahun ini selepas diadakan pada 2023.
Sementara itu, Pengurus Besar Kelab Golf Tasik Puteri, Nor Afendi Mohd. Razlan berkata, kerjasama itu merupakan kejayaan yang membanggakan mereka.
“Kerjasama dengan jenama berprestij seperti Mazda selaras dengan visi kami untuk terus berkembang, berinovasi dan menawarkan pengalaman terbaik kepada pemain golf kami, tetamu dan kepada komuniti golf yang lebih luas,” katanya.
Bagi memperingati majlis itu, satu kejohanan golf persahabatan yang menampilkan 40 pemain telah diadakan, diikuti oleh jamuan tengah hari perayaan yang dihadiri lebih 70 tetamu kehormat, termasuk ahli media dan pempengaruh media sosial. – KOSMO! ONLINE