PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu tiada keterangan daripada 27 saksi pendakwaan yang mengatakan ibu dan bapa Zayn Rayyan Abdul Matin mengabai anak mereka pada hari kanak-kanak itu hilang 5 Disember 2023.
Perkara itu dimaklumkan Pegawai Penyiasat Kanan Asisten Superitendan Mohd. Hafizee Ismail, 38, pada pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan yang mewakili kedua-dua tertuduh iaitu Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf.
Peguam: Adakah anda tahu daripada 27 saksi yang telah beri keterangan, tiada seorang saksi pun mengatakan di mahkamah atas sumpah bahawa mereka ada lihat OKT 1 (Zaim Ikhwan) atau OKT 2 (Ismanira) atau mereka bersama-sama mengabaikan Zayn pada 5 dan 6 Disember 2023. Tiada satu orang pun?
Saksi: Saya tak pasti
Peguam: Mengikut siasatan anda, saksi mana?
Saksi: Tiada saksi
Sementara pada masa sama, Mohd. Hafizee turut menjelaskan tiada juga keterangan daripada kesemua saksi pendakwaan yang melihat kedua-dua tertuduh berada dikawasan sungai berdekatan di Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai di sini.
Selain itu itu turut bersetuju bahawa tiada kesan kecederaan lama yang dialami Zayn Rayyan berdasarkan laporan bedah siasat yang dilakukan terhadap kanak-kanak itu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung lagi petang ini.
Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Nur Sabrina Zubairi, manakala peguam Haresh Mahadevan mewakili kedua-dua tertuduh.
Mengikut pertuduhan pindaan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini antara pukul 12 tengahari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE