JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak perempuan tiga tahun maut selepas kereta Perodua Myvi yang dinaikinya terbabas sendiri di Jalan Adda 5, Taman Adda Height, di sini tengah malam tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Pegawai Bomba Kanan II Izwan Abdullah berkata, panggilan kecemasan mengenai kejadian itu diterima pada pukul 12.39 pagi.
Katanya, kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di bahu jalan.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati terdapat tiga mangsa dalam kenderaan berkenaan. Dua mangsa iaitu seorang lelaki berusia 24 tahun dan seorang wanita berumur 23 tahun, tersepit di bahagian hadapan kenderaan dan mengalami kecederaan.
“Seorang lagi mangsa, iaitu seorang kanak-kanak perempuan, tidak tersepit namun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pasukan keluaran operasi (PKO) bertindak menggunakan peralatan khas penyelamatan jalan raya (RTA) untuk mengeluarkan dua mangsa yang tersepit dan mereka diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk rawatan lanjut. Mayat kanak-kanak perempuan tersebut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, ketika kejadian kesemua mangsa dalam perjalanan dari Taman Mount Austin pulang ke rumah mereka di Taman Adda Height.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, kereta dipandu lelaki berusia 24 tahun hilang kawalan lalu merempuh sebatang pokok di sebelah kiri jalan,” katanya. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-KOSMO! ONLINE