KUALA TERENGGANU – Gara-gara takut didenda kerana kehilangan MyKad buat kali ketiga, seorang buruh tergamak membuat laporan polis palsu kononnya disamun pada kelmarin.
Helah lelaki berusia 21 tahun yang berasal dari Rusila, Marang itu terbongkar apabila siasatan terhadap laporan polis yang dibuatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di sini pada pukul 2.04 petang, Isnin lalu sebenarnya palsu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, bekas banduan yang baru dibebaskan atas kesalahan penyalahgunaan dadah tersebut mendakwa kononnya dia telah disamun di Kuala Ibai di sini pada pukul 10.30 pagi, Isnin lalu.
“Dia mendakwa kononnya disamun oleh seorang lelaki berpakaian hitam dan memakai topi keledar penuh yang menunggang motosikal Honda EX5.
“Dakwanya, lelaki itu pada mulanya meminta pertolongan membaiki motosikal yang rosak sebelum tiba-tiba memukul mulut dan belakang badannya dengan topi keledar lalu melarikan beg silangnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Azli berkata, siasatan lanjut kemudiannya mendapati aduan lelaki itu sebenarnya tidak pernah berlaku.
Beliau berkata, sebenarnya beg silang mengandungi barangan peribadi buruh terbabit termasuk MyKad telah tercicir sewaktu dia terlibat dalam pergaduhan dengan seorang lelaki di Kampung Gong Rok Nasik di sini pada pukul 1 pagi, kelmarin.
“Buruh itu risau dikenakan denda tinggi oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana kehilangan MyKad buat kali ketiga telah membuat laporan palsu kononnya disamun setelah dicadangkan salah seorang rakannya,” katanya. – KOSMO! ONLNE