SUNGAI BULOH – Kira-kira 86 buah rumah di Kampung Baru Sungai Buloh dan Kampung Paya Jaras Hilir, di sini terjejas akibat dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat sejak malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian sekitar pukul 6.31 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, komander operasi mendapati berlaku kejadian banjir berkedalaman hampir satu meter.
“Sebanyak enam buah rumah dinaiki air di Kampung Baru Sungai Buloh manakala 80 buah rumah terjejas di Kampung Paya Jaras Hilir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Ahmad Mukhlis berkata, tiada pemindahan dilakukan dan air menunjukkan trend menurun. – KOSMO! ONLINE