SHAH ALAM – Sebuah hab pengumpulan barangan kurier digempur menyebabkan segelintir pekerja asing cuba melarikan diri dalam kejadian di Seksyen 28 di sini semalam.
Serbuan Ops Sapu dijalankan Jabatan Imigresen bermula pukul 3 petang itu berjaya menahan 52 pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia 23 hingga 45 tahun.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, operasi dijalankan hasil risikan dan maklumat dengan semasa serbuan kesemua mereka sedang sibuk menjalankan rutin harian termasuk dalam pengasingan barangan.
“Ada PATI yang cuba melarikan diri keluar atau ke premis bersebelahan sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Malah, ada yang menyorok di celah-celah mesin dan lori bagi meloloskan diri namun gagal,” katanya hari ini.
Jelasnya, seramai 52 warga asing telah diperiksa dengan kesemuanya kemudiannya ditahan selepas didapati melakukan kesalahan dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Khairrul Aminus menambah, mereka melibatkan 27 warga India, Pakistan (13), Myanmar (11) dan seorang warga Indonesia.
“Kesemua yang ditahan di hantar ke Depoh Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE