PETALING JAYA – Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan Pengasas Binance, CZ untuk membincangkan potensi Malaysia sebagai hab utama dalam aset digital dan industri blockchain yang semakin berkembang.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya mengalu-alukan perbincangan berterusan bersama agensi seperti Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara Malaysia dan Kementerian Digital.
Katanya, perbincangan itu diharap dapat meneroka kaedah memudah cara dan mempromosi inovasi yang bertanggungjawab.
“Pada masa sama, jelas bahawa kepimpinan kerajaan adalah penting dalam memacu penggunaan blockchain seperti melalui pendigitalan dan meneroka tokenisasi instrumen kewangan dan kes penggunaan lain.
“Dengan langkah yang betul, Malaysia boleh meletakkan diri di barisan hadapan dalam transformasi digital global,” katanya menerusi hantaran di aplikasi X sebentar tadi. – KOSMO! ONLINE