SEREMBAN – Seorang pemancing berdepan detik cemas selepas terserempak seekor buaya ‘merayau’ di sungai di Kampung Linsum di sini yang berada kira-kira lapan meter dari tempatnya pada pukul 8.30 pagi semalam.
Pemancing yang mahu dikenali sebagai Fairus, 40-an berkata, sudah lama reptilia tersebut tidak muncul di kawasan berhampiran jambatan Kampung Linsum.
“Kalau hujan lebat di Seremban air akan turun ke Rantau. Biasanya buaya besar akan ‘merayau’. Semasa nampak (buaya) memang cemas, bimbang buaya kacau semasa memancing, tetapi alhamdulillah setakat ini buaya itu tak buat kacau,” katanya hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri berkata, dalam tempoh dua tahun ini, pihaknya tidak menerima sebarang aduan gangguan buaya di sungai tersebut.
“Bagaimanapun, bagi pemancing kebanyakan mereka sudah mengetahui kewujudan buaya di kawasan sungai itu. Kita menasihatkan orang ramai agar tidak perlu melakukan provikasi dan berhati-hati jika ternampak reptilia tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE