fbpx

Nelayan Orang Asli lemas jatuh bot ketika jaring udang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa lemas yang terjatuh bot ketika menjaring ikan di perairan Johor Port, Pasir Gudang, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki Orang Asli ditemukan lemas selepas terjatuh bot ketika menjaring udang di perairan Johor Port, Pasir Gudang di sini hari ini.

Mangsa, Mohammad Ronney Teo Abdullah, 49, dijumpai pada pukul 1.45 tengah hari selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan sejak semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Sarhan Akmal Mohamad berkata, mangsa dilaporkan hilang pada pukul 1.10 tengah hari semalam.

Katanya, operasi SAR digerakkan dengan kekuatan 28 anggota melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Maritim Malaysia dan Johor Port.

“Operasi (SAR) dilakukan berhampiran perairan antarabangsa Malaysia-Singapura berdasarkan maklumat yang diberikan oleh abang mangsa.

“Selaman dilakukan pada kedalaman 20 meter namun operasi terpaksa ditangguhkan pada pukul 6.50 petang semalam ekoran cuaca gelap dan laluan perkapalan yang sibuk berhampiran Pelabuhan Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Sarhan, operasi disambung hari ini sebelum mayat mangsa ditemukan terapung kira-kira 100 meter dari lokasi terakhir lelaki itu dilaporkan terjatuh.

Mayat Mohammad Ronney diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi SAR  tamat pada pukul 2.40 petang.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI