WASHINGTON – Bulan sabit akan berada sejajar dengan Planet Zuhrah, Zuhal dan Utarid di langit timur pagi Jumaat ini dalam satu fenomena astronomi bagi bulan April, lapor agensi berita United Press International semalam.
Keempat-empat objek itu akan dapat dilihat dengan mata kasar walaupun Utarid mungkin sukar untuk dikesan ekoran cahayanya yang malap dan kedudukan rendah di langit.
Orang ramai perlu bangun tidur sebelum fajar menyingsing pada hari Jumaat untuk menyaksikan himpunan objek cakerawala itu.
Sebilangan pengguna media sosial menggelar fenomena itu sebagai ‘senyuman’ angkasa, dengan Bulan kelihatan sebagai mulut tersenyum, manakala Zuhrah dan Zuhal seperti dua mata.
Namun bagi pemerhati bintang di Amerika Utara, fenomena itu mungkin tidak menyerupai apa yang dikatakan oleh ahli-ahli astrologi.
Ini kerana di rantau berkenaan, ketiga-tiganya akan berada pada kedudukan berselerak di langit dan terletak pada satu sudut.
‘Pertemuan’ Bulan dengan Zuhrah, Zuhal dan Utarid adalah peristiwa yang berlaku dalam satu malam. – AGENSI