KUALA LUMPUR – Kejohanan Maraton Bintulu yang akan memasuki edisi ketiga pada 3 Ogos depan meletakkan sasaran untuk meleburkan rekod penyertaan 5,800 peserta yang dicatat tahun lalu.
Apa yang menarik, saingan kali ini turut menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM100,000 meliputi semua kategori dipertandingkan.
Pengarah perlumbaan Maraton Bintulu 2025, Awangku Mohd Sharifuddin Awangku Ahmad berkata, pihak Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) mahu menjadikan kejohanan itu salah satu acara larian terbaik di pentas antarabangsa.
“Aspirasi kami adalah untuk menjadikan Maraton Bintulu sebagai antara acara larian paling menarik bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa.
“Kami juga sedang berusaha mendapatkan pengiktirafan Olahraga Dunia (WA) selain cuba menarik penyertaan nama-nama besar dalam dunia maraton,” katanya menerusi satu kenyataan.
Meskipun baru sahaja memasuki penganjuran kali ketiga, namun kejohanan itu sudah pun berjaya menarik penyertaan pelari-pelari elit antarabangsa, terutamanya dari Afrika.
Selain itu, beberapa pelari maraton terbaik Malaysia seperti Muhaizar Mohamed, P. V. Subramaniam, Ahmad Luth Hamizan dan Haziq Hamzah juga pernah beraksi pada kejohanan tersebut.
Edisi kali ini menampilkan empat kategori utama iaitu maraton penuh (42.195km dengan had masa 7 jam), separuh maraton (21.1km – 4 jam), larian pertengahan 10km (2 jam 15 minit) dan larian santai sejauh 6km (1 jam 30 minit).
Peserta akan bersaing dalam kategori Terbuka (18-39 tahun) dan Veteran (40 tahun ke atas) dengan juara Terbuka lelaki dan wanita masing-masing membawa pulang RM7,000 manakala pemenang Veteran menerima RM3,000.
Sementara itu, hadiah wang tunai juga diberikan kepada 10 pelari terbaik dalam setiap kategori selain pelari lelaki dan wanita terbaik Malaysia bagi kategori Terbuka akan menerima insentif RM2,000.
Sesiapa yang mahu mendapatkan maklumat lanjut ataupun mendaftar boleh melayari laman web https://www.heyjom.com/event/BintuluMarathon-2025 atau https://cps4.me/bintulu-marathon-2025. – KOSMO! ONLINE