UMUM mengetahui bahawa makanan dan minuman merupakan keperluan utama untuk seseorang itu meneruskan kehidupan.
Bagi orang Islam, mencari sumber makanan dan minuman yang halal itu adalah sesuatu yang wajib.
Mendapatkan sumber halal secara tidak langsung mendatangkan kebaikan, malahan membawa kepada ketenteraman jiwa.
Dalam al-Quran sendiri, ada ayat yang menggalakkan manusia untuk memilih makanan yang halal dan baik.
Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 168 yang bermaksud:
“Wahai sekalian manusia, makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan
janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.”
Dalam hal ini, umat Islam di Malaysia beruntung kerana mudah untuk mendapatkan makanan halal.
Namun begitu, dalam memastikan pengguna yakin dengan status halal sesuatu produk atau perkhidmatan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah melaksanakan inisiatif SmartHalal Kod QR pada aplikasi SmartHalal.
Melalui inisiatif itu, ia akan memudahkan pengguna untuk mengetahui status halal sesuatu produk atau perkhidmatan yang ada di pasaran dengan lebih cepat dan tepat.
Inisiatif ini membawa manfaat yang besar kepada ummah seterusnya mengekalkan imej pensijilan halal Malaysia sebagai peneraju pensijilan halal bertaraf dunia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, melalui sistem kod QR tersebut, ia akan memudahkan pemain industri berkaitan pensijilan halal terkini.
Menurutnya, inisiatif tersebut juga boleh meningkatkan permohonan dan pemilikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
“Inisiatif ini adalah hasil kerjasama strategik Jawatankuasa Bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Jakim dan jabatan agama Islam negeri, seterusnya menjadikan aplikasi ini sebagai hak milik penuh kerajaan.
“Cadangan pembangunan aplikasi SmartHalal telah dipersetujui dalam mesyuarat pertama jawatankuasa bersama itu.
“Ia adalah projek pertama aplikasi telefon pintar berkaitan halal di bawah seliaan kerajaan melibatkan pembangunan teknologi ke arah gaya hidup digital,” katanya ketika mengumumkan
Inisiatif SmartHalal Kod QR yang diadakan secara maya baru-baru ini.
Dalam pada itu, aplikasi SmartHalal telah dibangunkan berdasarkan MYeHALAL yang merupakan satu sistem bagi memperoleh SPHM yang telah dilaksanakan pada tahun 2007.
Aplikasi tersebut memudahkan orang ramai untuk mendapatkan maklumat serta lokasi tentang pembekal diiktiraf dan diberikan pensijilan halal.
Zulkifli menjelaskan, semua maklumat yang diperoleh melalui aplikasi SmartHalal akan diintegrasikan dengan pangkalan data MYeHALAL yang disediakan Jakim secara langsung.
“Melalui Kod QR, pengguna boleh melakukan carian berdasarkan kategori dan skim seperti nama syarikat, premis makanan, produk farmaseutikal, barang gunaan, komestik dan dandanan diri, logistik, makanan dan minuman, rumah sembelihan, pengilangan kontrak dan yang terkini peranti perubatan.
“Selain carian berdasarkan kod QR yang baru dibangunkan terdapat beberapa maklumat atau ciri-ciri lain yang tersedia dan boleh digunakan dalam aplikasi tersebut,” jelasnya.
Jelasnya lagi, untuk menggunakan sistem Kod QR tersebut, pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi SmartHalal ke dalam telefon pintar terlebih dahulu.
Aplikasi tersebut boleh dimuat turun melalui platform Google Play dan App Store.