PETALING JAYA – Kerajaan hari ini bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Sungai Udang dan Kuarters Kakitangan, Melaka bermula 3 sehingga 16 Februari ini.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini melaporkan situasi peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak di Penjara Sungai Udang dan Kuarters Kakitangan.
“Sehingga 31 Januari 2021, KKM telah melaksanakan 339 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 113 kes positif Covid-19 telah direkodkan yang melibatkan 79 tahanan, 22 kakitangan dan 12 ahli keluarga.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, kakitangan dan kontak rapat yang terlibat untuk mengawal penularan jangkitan dalam komuniti,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, prosedur operasi standard (SOP) PKPD di penjara terbabit juga sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan. – K! ONLINE.