SUNGAI BULOH – Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman merancang untuk membeli khemah utiliti yang dilihat lebih lasak kepada cuaca bagi mengggantikan khemah yang sedia ada dalam usaha melindungi keselamatan petugas-petugas di sekatan jalan raya (SJR) seluruh negara.
Khemah berkenaan dikatakan lebih tahan lasak kepada cuaca seperti angin dan ia juga dilengkapi dengan kemudahan penghawa dingin serta beberapa peralatan lain termasuk lampu.
Timbalan Pengarah 1 Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Shukri Abdullah berkata, perancangan tersebut telah dimasukkan ke dalam bajet menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
“Perancangan ini dilakukan selepas melihat beberapa insiden yang berlaku terhadap petugas-petugas di SJR hingga membahayakan nyawa mereka.
“Kita sedang rancang, jika ada bajet kita akan dapat perolehan. Setakat ini rasanya tiada halangan kerana ia melibatkan peruntukan daripada kerajaan,” ujarnya kepada pemberita.
Terdahulu, beliau bersama Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar melawat petugas-petugas melalui program Jeneral Turun Padang di SJR Plaza Tol Rawang Selatan di sini hari ini.-K!ONLINE