PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan merakam percakapan sebuah akhbar berbahasa Cina berkaitan kesilapan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap tanpa bulan sabit, petang ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi berkata, rakaman percakapan akan diambil daripada ketua editor dan pereka grafik ilustrasi akhbar berkenaan.
“Rakaman percakapan akan diambil di Bukit Aman kira-kira pukul 1 petang ini. Setakat ini kita terima 40 laporan berkaitan kes ini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) (c) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Seksyen 4(1) (b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai ilustrasi Jalur Gemilang itu diletakkan bersebelahan bendera China yang diterbitkan oleh sebuah akhbar Cina.
Susulan itu akhbar tersebut memohon maaf dan berkata ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap di muka hadapan itu berlaku disebabkan kesilapan teknikal yang tidak disengajakan. – KOSMO! ONLINE