LAHAD DATU – Polis sedang mengesan suspek utama kes pembuangan bayi lelaki yang dijumpai di dalam kotak di sebuah gerai tidak bernombor di Batu 13, Jalan Jeroco, di sini, semalam.
Jasad bayi cukup sifat itu ditemui dengan berbalut kain oleh orang awam kira-kira pukul 2 petang sebelum dilaporkan kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, bayi lelaki itu dipercayai sudah meninggal dunia ketika ditemui.
“Mayat bayi itu dihantar ke Forensik Hospital Lahad Datu untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dzulbaharin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang mayat.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini supaya berhubung dengan pegawai penyiasat kes Inspektor Mohd. Damsa Dahlan di talian 089-881255 atau tampil di mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE