PETALING JAYA – Permohonan kemasukan ke program-program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi Kursus Sepenuh Masa Ambilan Perdana Julai 2025 kini dibuka.
Permohonan boleh dibuat melalui platform UP_TVET di pautan https://mohon.tvet.gov.my hingga 15 Jun.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta individu yang berminat untuk membina kerjaya dalam bidang kemahiran diseru untuk membuat permohonan.
Ujarnya selaku Pengerusi Majlis TVET Negara, TVET hari ini bukan lagi pilihan alternatif, sebaliknya telah menjadi landasan utama kepada kerjaya yang kukuh, bergaji kompetitif dalam pelbagai sektor strategik seperti automasi, teknologi hijau, dan kecerdasan buatan (AI).
“Pelbagai program ditawarkan di dalam UP_TVET merangkumi bidang pembuatan, pertanian moden, pembinaan, perkhidmatan, teknologi maklumat, kesihatan dan banyak lagi.
“Selain itu, bagi mereka yang perlukan fleksibiliti, saya turut menggalakkan untuk meneroka laluan UP_TVET Flexi – sebuah sistem modular yang membolehkan pembelajaran mengikut jadual dan keperluan individu, yang dibuka
sejak awal tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Ahmad Zahid, Kerajaan Madani komited untuk memperluas akses pendidikan TVET demi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu bersaing di peringkat global.
“Maka, mari kita bersama-sama jadikan TVET sebagai batu loncatan untuk membina dan memacu masa depan yang lebih sempurna demi diri kita, keluarga dan negara yang kita cintai,” katanya. – KOSMO! ONLINE