TAPAH – Kontroversi melibatkan calon Perikatan Nasional (PN) yang didakwa menipu untuk mendapatkan tauliah disifatkan sebagai naratif yang tidak berasas sama sekali.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, semakan mendapati Abd. Muhaimin Malek memperoleh tauliah yang sah sejak 2014 lagi.
“Bukan senang nak dapat tauliah, saya sendiri pun ada tauliah dan pernah melalui proses itu yang mana kita berdepan dengan panel-panel termasuk mufti dan timbalan mufti yang bertanyakan pelbagai soalan dari pelbagai sudut.
“Jadi, nak tuduh orang tipu tauliah, kena faham maksudnya dahulu. Tipu tauliah ini maksudnya tiada tauliah,” katanya pada Sidang Media Harian PN sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Pusat Media PN N48 di Bidor.
Beliau yang juga Pengarah Jawatankuasa Induk PRK DUN Ayer Kuning berkata, setakat ini tiada keperluan di bawah Akta Pilihan Raya yang menghalang pemegang tauliah daripada menjadi calon pilihan raya.
“Tiada syarat Suruhanjaya Pilihan Raya perlu lepas tauliah jika nak bertanding. Yang buat laporan (polis) terhadap Ustaz Muhaimin, belum tentu ada tauliah dan nak dapat borang sekali pun belum tentu dapat,” katanya. – KOSMO! ONLINE