TANGKAK – Kerana percaya dengan cakap manis seorang kawan yang mampu menghalau gangguan makhluk halus, seorang warga emas terpaksa berputih apabila kerugian selepas menyerahkan wang tunai dan barang kemas bernilai RM445,000.
Menurut Ketua Polis Daerah Tangkak Superintendan Roslan Mohd. Talib, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut daripada mangsa lelaki warga tempatan berusia 70 tahun semalam.
“Mangsa ditawarkan untuk mendapatkan khidmat rawatan tradisional dan telah menyerahkan sejumlah wang tunai dan barangan kemas kepada suspek dengan anggaran kerugian berjumlah RM445,000.
“Wang tunai dan barang kemas berkenaan diserahkan sekitar bulan Mac hingga April 2024.
“Mangsa percaya rawatan perubatan ini adalah sahih disebabkan suspek merupakan kenalannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Roslan, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan sebatan atau denda.
Pihak polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya serta diseru membuat semakan terlebih dahulu atas sesuatu tawaran sebagai langkah berhati-hati. – KOSMO! ONLINE