fbpx

DUN Terengganu bertafakur, sedekah al-Fatihah buat Tun Abdullah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DUN Terengganu bertakafur berikutan pemergian Abdullah pada Sidang DUN Terengganu ke-15 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu sebentar tadi bertafakur seketika untuk menghormati pemergian Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia malam tadi.

Kesemua yang hadir ke persidangan itu termasuk 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu juga membaca surah al-Fatihah kepada Allahyarham.

Yang Dipertua DUN Terengganu, Datuk Mohd. Nor Hamzah berkata, DUN negeri merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Abdullah.

Beliau menyifatkan bekas Ahli Parlimen Kepala Batas tersebut sebagai seorang pemimpin berjiwa tenang, merendah diri, menekankan prinsip integriti, kesederhanaan dan amanah sewaktu mentadbir negara dari tahun 2003 hingga 2009.

“Sumbangan Allahyarham dalam menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam, memperluas ruang dialog antara rakyat dan kerajaan serta menekankan ketelusan dalam urus tadbir telah memberi manfaat kepada seluruh rakyat termasuk Terenganu.

“Ini termasuk daripada aspek pembangunan infrastruktur dan pendidikan,” katanya sewaktu mempengerusikan Sidang DUN Terengganu di sini hari ini.

Mohd. Nor berkata, Perdana Menteri kelima telah meninggalkan kesan signifikan kepada Terengganu, khususnya dalam memperkukuh hubungan Persekutuan dan negeri sepanjang menjadi pemimpin nombor satu negara.

Beliau, sebagai seorang tokoh negarawan yang dihormati, jasa dan sumbangan Allahyarham dalam membentuk landskap politik serta memperkukuhkan tadbir urus negara akan terus dikenang dan menjadi teladan buat generasi mendatang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI