fbpx

Bendera China berkibar di Putrajaya sempena lawatan negara Xi Jinping esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelancong warga China, Hai Cheng (kanan) mengibarkan bendera China bersama Muhammad Fahmi Bukhari (kiri) yang mengibarkan bendera Malaysia sempena Lawatan Negara oleh Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia dari 15 hingga 17 April ini.-Foto FAIZ ALIF ZUBIR/KOSMO!

PUTRAJAYA- Beberapa laluan utama di pusat pentadbiran negara di sini mula dihiasi dengan kibaran bendera China bersempena lawatan negara Presiden China, Xi Jinping bermula esok hingga 17 April ini.

Lawatan negara itu yang dibuat atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sekali gus dilihat memperkukuhkan hubungan diplomatik antara Putrajaya dan Beijing.

Menurut Kementerian Luar, hubungan diplomatik Malaysia dan China terjalin sejak 31 Mei 1974 dan meraikan ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik pada tahun lalu dengan hubungan dua hala yang kukuh.

Katanya, lawatan ini merupakan sebahagian daripada siri pertama lawatan negara pada tahun ini selepas lawatan terakhir ke Malaysia pada tahun 2013.

“Kedua-dua negara telah menaik taraf hubungan diplomatik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.

“Semasa lawatan negara kali ini, Xi akan disambut dengan istiadat sambutan negara dan diikuti dengan kunjungan menghadap ke atas Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

“Seri Paduka Baginda juga berkenan meraikan Xi dan delegasi dalam satu majlis santapan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Xi turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berbincang mengenai kerjasama dua hala serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama.

Katanya, kedua-dua pemimpin seterusnya akan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman, Perjanjian dan Nota antara Malaysia dengan China.

“Anwar akan turut menghoskan satu majlis makan malam rasmi di Kompleks Seri Perdana untuk meraikan Xi.

“Sebagai Pengerusi ASEAN dan Negara Penyelaras bagi Hubungan Dialog ASEAN-China, Malaysia kekal komited untuk memajukan Perkongsian Strategik Komprehensif antara ASEAN dan China.

“Ia dibuat melalui dialog, kesalingpercayaan, dan inisiatif yang membawa manfaat kepada rakyat ASEAN dan China,” katanya.

Selama 16 tahun berturut-turut sejak tahun 2009, China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan antara Malaysia dan China bernilai RM484.12 bilion pada tahun 2024.

Ia menyumbang kepada 16.8 peratus nilai perdagangan global Malaysia (RM2.879 trilion). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI