LONDON – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menggesa barisan penyerangnya bekerja lebih keras selepas seri tanpa jaringan menentang Arsenal pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates awal pagi semalam.
Pengendali dari Norway itu meluahkan kekecewaan terhadap ketumpulan jentera serangannya pada perlawanan tersebut, terutamanya apabila Edinson Cavani mensia-siakan dua peluang terbaik menjaringkan gol.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan United terus ketinggalan dalam perebutan kejuaraan kepada pencabar terdekat, Manchester City yang gah menerajui liga dengan perbezaan tiga mata.
“Sekiranya anda lihat pada aksi menentang Arsenal, Chelsea, City dan Liverpool, kami tidak lepaskan banyak gol tetapi masih kurang tajam dari segi penyudah.
“Selepas ini, saya mahu pemain-pemain bekerja lebih keras pada sesi latihan. Kami sepatutnya menang hari ini (semalam) sekiranya penyerang tidak mensia-siakan peluang,” ujar Solskjaer.
Justeru, beliau yang juga legenda United berharap pemain-pemain The Red Devils menunjukkan kebangkitan menjelang aksi menentang Southampton di Old Trafford awal pagi Rabu ini.
“Saya tidak mahu fikir mengenai kejuaraan liga buat masa ini kerana fokus untuk perlawanan akan datang. Kami perlu tunjukkan respons pada aksi seterusnya,” katanya. – AGENSI