DUNGUN – Seorang tukang rumah menemui ajal selepas motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 75, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Hospital Dungun, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 2 petang itu, mangsa, Mazuddin Mohmad, 50, meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala dan beberapa anggota badan.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Lembah, Sungai Buaya setelah selesai kerja di tapak pembinaan di Kampung Che Lijah, di sini.
Seorang saksi, Abdul Mutalib Ismail, 49, berkata, dia melihat motosikal dinaiki Mazuddin dalam keadaan terhuyung-hayang sebelum terbalik atas jalan raya.
“Saya segera memberhentikan kereta untuk bantu mangsa (Mazuddin) yang berada dalam keadaan tertiarap. Saya sangka dia cuma cedera ringan, namun terkejut lihat banyak darah keluar daripada mulut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Abdul Mutalib berkata, dia sempat mengajar mangsa mengucap dua kalimah syahadah sebelum lelaki itu menghembuskan nafas terakhirnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Dungun di sini untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE