IPOH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad menafikan video tular membabitkan dakwaan beliau menunjukkan pistol ketika pemilihan PKR peringkat cabang, hari ini.
Menurut Muhamad Arafat, dakwaan bersifat fitnah kononnya beliau mengugut calon dan pengundi itu sering dihadapinya setiap kali pemilihan parti tersebut berlangsung.
“Setiap kali tempoh pemilihan parti akan ada yang memfitnah untuk kepentingan politik calon yang menentang saya dalam pemilihan.
“Rakyat akan dapat menilai fitnah-fitnah yang ditimbulkan tepat pada hari pengundian pemilihan parti di Perak iaitu hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, satu laporan polis dibuat terhadap individu berkenaan dan menyerahkan kepada peguam untuk tindakan selanjutnya.
Terdahulu, tular video berdurasi satu minit lima saat yang memaparkan seorang lelaki dikenali Kalai mendakwa Muhamad Arafat menunjukkan pistol kepada calon dan ahli-ahli yang sedang merayu undi. – KOSMO! ONLINE