PETALING JAYA – Calon Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri R. Ramanan yang juga Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR menang tanpa bertanding jawatan Ketua Cabang Sungai Buloh semalam.
Bagi jawatan Timbalan Ketua Cabang, dalam persaingan lima penjuru, Ikrami Mazli yang juga Pengurus Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh menang dengan 2,222 undi.
Keputusan itu menewaskan Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri Selangor, Mohd Khairuddin Othman, yang juga merupakan Pengawai Penyelaras DUN Paya Jaras, dan Mantan Exco Kerajaan Negeri, serta bekas Ahli Dewan Undangan Negeri juga bekas Timbalan Ketua Cabang Sungai Buloh, Shatiri Mansor.
Bagi jawatan Naib Ketua pula dimenangi oleh G.Suraise yang mendapat 2,462 undi mewakili pasukan Ramanan.
Sementara itu, pasukan Ramanan juga berjaya menguasai Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita yang mana jawatan Ketua AMK berjaya dipertahankan oleh Bariq Zaman Batharul Zaman dengan mendapat 771 undi.
Bagi Wanita Keadilan Sungai Buloh, Sarimah Lisut, berjaya meraih undian sebanyak 1,039 undi, mengatasi pencabar, Nurasyikin Maarum. – KOSMO! ONLINE