fbpx

Aniqma optimis lahirkan jutawan jual bantal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Platform PKS

KLANG – Jika dahulu bantal diperbuat daripada kekabu dan dihasilkan secara tradisional sekali gus menggalakkan lagi industri kraf tangan kampung untuk meningkatkan pendapatan penduduk di luar bandar.

Tetapi kini, perubahan gaya hidup masyarakat menyebabkan mereka beralih kepada penggunaan bantal yang dibangun melalui inovasi terkini, lebih moden, lebih selesa, antihabuk dan lebih bersih lalu membuka peluang kepada usahawan bumiputera untuk menceburinya.

Bermula dengan sekadar mencuba menjual di pasaran, langkah kanan pengasas syarikat Aniqma Baraqah Resources (Aniqma), Azhar Aziz bersama isterinya, Mazita Md. Noor pada tahun 2017 berjaya menampakkan hasil.

Idea memperkenalkan bantal hotel bercorak dan dikenali sebagai bantal Aniqma bertepatan kerana permintaan yang ada menunjukkan kuasa beli masyarakat kini semakin me­ningkat khususnya untuk pembelian pelbagai barangan yang membolehkan mereka tidur lena.

“Kami menjual bantal hanya dalam kalangan rakan, keluarga dan saudara-mara terlebih dahulu.

“Tempahan diterima sangat baik dan ini memberi semangat untuk kami menyusun strategi agar dapat pergi lebih jauh dalam bidang perniagaan ini.

“Aniqma adalah gabungan nama kami dan tiga orang anak kami,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Azhar menjelaskan, kejayaan menjual lebih daripada 4,500 unit bantal pada bulan pertama membuatkan Aniqma tidak berpaling ke belakang lagi malah terus tingkatkan aktiviti promosi bantal keluaran syarikat yang terdiri daripada tiga kategori.

Ia terdiri daripada bantal jumbo yang berukuran 19 inci X 47 inci), bantal kepala (19 inci X 29 inci) dan bantal comel (14 inci X 22 inci).

Sehingga kini, bantal yang te­lah menjalani kajian dan pembangunan selama tiga bulan sebelum dijual di pasaran itu telah berjaya mendapat sokongan da­ripada 300 pengedar di seluruh negara.

“Bantal Aniqma terkenal ke­rana kualitinya yang antihabuk, tidak berdebu, tidak memerangkap kelembapan, mudah kering jika basah dan memiliki tahap kebersihan yang tinggi.

“Bahan di dalam bantal tersebut diperbuat daripada gentian poliester gred berkualiti baik yang diimport dan fabriknya pula menggunakan kain kapas 100 peratus.

“Bagi bantal bercorak pula, fabriknya menggunakan kain kapas serta sedikit poliester.

“Saiz bantal ini juga tidak le­per selepas digunakan dalam tempoh yang lama serta boleh dibasuh dengan memasukkannya secara terus ke dalam mesin basuh besar bersaiz 14 kilogram,” terangnya.

Bantal-bantal tersebut dijual pada harga RM29 sehingga RM59 seunit.

Menjelas lebih lanjut me­ngenai produk syarikat, Mazita memberitahu, bantal Aniqma bercorak dengan konsep flora itu telah menjadi pilihan pelanggan khususnya mereka yang mengusahakan rumah inap, pasangan pengantin dan keluarga yang baru berpindah rumah.

Bantal jumbo yang merupakan identiti utama Aniqma itu pula menawarkan kelainan kepada pelanggan kerana saiznya yang lebih besar, lembut, ber­corak dengan jahitan tepi yang kemas.

Bantal kepala pula memiliki zip di bahagian tepinya bagi memudahkan pelanggan mengeluarkan sedikit bahan di dalamnya untuk disuai padan dengan ke­puasan pelanggan ketika baring di atasnya.

“Kami mahu menggiatkan usaha untuk mempromosikan bantal jumbo pada tahun ini,” jelas Mazita.

Tambah beliau, selain itu, syarikat juga telah mempelbagaikan jualannya kepada set cadar untuk beberapa kategori katil ekoran memenuhi permintaan daripada pelanggan.

Jelasnya, set lengkap cadar mula diperkenalkan pada awal tahun 2019 dan ia menawarkan kategori set katil bujang, Queen dan juga King pada harga antara RM120 hingga RM140 satu set.
Cadar yang memiliki 850 kepadatan benang itu menawar sembilan warna menarik.

“Kami bercadang untuk memperkenalkan cadar bercorak ­abstrak pada tahun ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mazita menerangkan, pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula tahun lalu tidak memberi impak ketara kepada jualan dan operasi syarikat malah jualannya tetap stabil.

Ketika itu, tempahan secara online menjadi trend masyarakat dan memberi kelebihan buat syarikat untuk menguasainya.

“Melalui komitmen pengedar, jualan terus kukuh sehingga mencatat pertumbuhan antara 30 hingga 40 peratus semasa PKP berbanding hanya pertumbuhan 20 peratus sebelum ini,” ujarnya.

Tambah beliau, berdasarkan sambutan yang semakin baik, syarikat bercadang untuk membuka peluang kepada usahawan baharu untuk menceburi perniagaan berkenaan.

Aniqma mengintai peluang untuk menambah sehingga 2,000 ejen pada tahun ini sekali gus mengunjurkan pertumbuhan jualan sebanyak 50 peratus pada tahun ini.

Mengulas mengenai rangkaian pengedarnya, Mazita menerangkan, peranan mereka adalah penting untuk sama-sama membangunkan empayar perniagaan berkenaan.

Sehubungan itu, pihaknya sentiasa memberi tunjuk ajar, bimbingan dan semangat tentang hala tuju syarikat, pengoperasian, produk dan semangat jati diri untuk menggalakkan mereka sentiasa bersemangat untuk mencapai sasaran jualan yang ditetapkan.

“Kami yakin, pengedar A­niqma akan bergelar jutawan pada masa depan. Oleh itu, untuk menggalakkan mereka terus gigih berusaha, syarikat sentiasa memberi hadiah berupa kepingan emas, wang tunai dan cenderahati menarik untuk mereka yang bertuah,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI