MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menggesa anak-anak buahnya menampilkan aksi terbaik ketika menentang Leicester City pada perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) malam esok.
Pada aksi yang akan berlangsung di Stadium King Power itu, United hanya memerlukan keputusan seri untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan, namun Solskjaer tetap mahukan tiga mata.
Perlawanan yang melibatkan United, Leicester dan Chelsea pastinya menjadi tumpuan pada hari terakhir liga memandangkan ketiga-tiga pasukan ini memburu kedudukan empat teratas.
“Sebenarnya keputusan seri sudah memadai untuk kami, namun sudah tentu United ke sana dengan misi mencatat kemenangan,” kata Solskjaer.
Pengendali dari Norway itu berkata, sekarang terpulang kepada barisan pemainnya untuk menggunakan peluang terhidang bagi memastikan mereka beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara.
“Kami memiliki waktu rehat selama tiga hari, jadi ia beri peluang kepada kami untuk cergas sepenuhnya. Ini adalah peluang terbaik kami layak ke saingan Eropah,” ujarnya.
United dilihat memiliki peluang lebih besar untuk melakar kemenangan memandangkan Leicester turun tanpa kelibat James Maddison dan Ben Chilwell yang masih cedera. – AGENSI