BACHOK – Kelantan menerima peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM762 juta merangkumi wang ihsan sebanyak RM345.97 pada tahun lalu sekali gus mencatatkan peningkatan sebanyak 30 peratus berbanding 2023.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemberian itu merangkumi Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri (Pemberian MARRIS), Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Pemberian TAHAP) dan Geran Per Kapita (PCG).
Menurutnya, Kelantan sebelum ini menerima pemberian Kerajaan Persekutuan sebanyak RM588 juta termasuk wang ihsan RM 217.5 juta pada 2023 manakala RM1.57 bilion bagi Terengganu untuk tahun yang sama.
“Terengganu mendapat peruntukan sebanyak RM2.02 bilion pada tahun lalu dan jumlah tersebut meningkat 28 peratus berbanding 2023.
“Pemberian Kerajaan Persekutuan itu berdasarkan sumber utama hasil negeri iaitu melebihi hasil negeri daripada sumber yang lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Pantai Irama di sini hari ini.
Anwar memberitahu, hasil Kelantan yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan pada tahun lalu adalah RM762 juta manakala hasil kerajaan negeri daripada sumber lain pula kira-kira RM500 juta.
Menurutnya, bagi Terengganu, hasil diterima daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM2 bilion manakala hasil kerajaan negeri kira-kira RM250 juta.
“Hanya tiga negeri yang menerima pemberian Kerajaan Persekutuan melebihi RM1 bilion setahun iaitu Sarawak, Sabah dan Terengganu.
“Segala hasil dan wang ihsan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan untuk digunakan kepada pembangunan dan rakyat di negeri-negeri tersebut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE