PETALING JAYA – Seseorang yang meletakkan kenderaan di hadapan rumah jiran tanpa kebenaran boleh dihadapkan ke mahkamah dan berdepan dengan tindakan saman.
Menurut seorang peguam dikenali sebagai Nas Rahman, ia merupakan salah satu kesalahan yang boleh diambil tindakan di bawah ‘private nuisance’ (gangguaj peribadi).
“Tahun 2017, ada pasangan suami isteri pernah saman jiran diorang di Mahkamah Tinggi sebab asyik ‘parking’ kereta depan pintu pagar.
“Tegur banyak kali tak jadi juga. Keputusannya, Mahkamah Tinggi memutuskan yang tindakan jiran diorang terjumlah kepada satu bentuk kacau ganggu atau’ private nuisance’ dan menyebabkan ketidakselesaan kepada mereka,” ciapnya.
Tambahnya, injunksi yang dipohon telah dibenarkan dan jiran mereka diarahkan untuk bayar pampasan nominal sebanyak RM5,000 kepada pasangan suami isteri tersebut.
Sehingga kini ciapannya mendapat lebih 1,200 perkongsian dan 2,100 tanda suka.
Terdahulu seorang pengguna terkejut apabila mendapati jirannya sesuka hati meletakkan kenderaan di dalam garaj rumah tanpa kebenarannya.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang terkejut kerana baru mengetahui tentang tindakan tersebut boleh diambil sekiranya berlaku dalam kehidupan seharian mereka.
“Baru tahu boleh saman jiran kalau kena macam ni. Lepas ni bolehlah ‘ajar’ jiran tetangga yang tak faham bahasa,” ciap Maisarah.
“Hidup berjiran tolonglah ada sikap saling toleransi. Tak perlu saman menyaman kalau betul-betul ada ‘common sensen’,” katanya. – KOSMO! ONLINE