GUA MUSANG – Seekor tapir jantan yang dianggarkan seberat 450 kilogram ditemui mati dipercayai dirempuh kenderaan di tepi Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Felda Chiku 1 di sini hari ini.
Tapir itu dipercayai dari Hutan Simpan Gunung Rabong atau Hutan Simpan Chiku di sini keluar menyeberangi jalan di kawasan itu sebelum dirempuh sebuah kenderaan yang dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, bangkai haiwan berusia lapan tahun itu ditemui oleh orang awam di tepi jalan berkenaan pada pukul 7.45 pagi tadi.
Katanya, tapir itu dipercayai mati pada tengah malam tadi atau awal pagi ini.
“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati tapir jantan itu dipercayai mati akibat dilanggar kenderaan pengguna jalan raya berdasarkan terdapat kesan darah atas jalan raya.
“Tapir itu juga cedera di bahagian badannya seperti di mulut selain terdapat kesan seretan dipercayai menjadi punca kematian haiwan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ady Ermanty Haniff berkata, tapir itu dipercayai keluar dari habitatnya berkemungkinan merayau mencari makanan di sekitar kawasan itu.
“Berdasarkan rekod, sebanyak tiga ekor tapir telah mati dilanggar kenderaan di negeri ini pada tahun lalu.
“Pada bulan November lalu, seekor tapir jantan yang dianggarkan seberat 150 kilogram ditemukan mati dipercayai dilanggar kenderaan di Kampung Sri 10, Jalan Sungai Durian-Chenulang dekat Kuala Krai,” katanya.-K! ONLINE