MELAKA – “Kalau umi rindu Adik, umi cium bantal Adik. Itu kata-katanya dulu ketika saya mahu menunaikan haji di Mekah pada tahun 2019. Sebab itu saya membawa ke mana-mana sahaja bantal ini, agar dapat melepaskan kerinduan,” katanya.
Norlida Abu Hassan, 50, ketika ditanya mengenai bantal yang dilihat sentiasa dipeluk dan dipegangnya sepanjang berada di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Melaka, di sini hari ini.
Norlida merupakan ibu angkat kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang ditemukan meninggal dunia dipercayai akibat didera oleh ibu kandung dan bapa tirinya dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, di sini, kelmarin.
Katanya, bantal tersebut adalah ‘bantal busuk’ mangsa yang mesra dengan panggilan ‘Adik’ sejak dia masih bayi sehinggalah berusia enam tahun.
“Saya masih ingat lagi ketika mahu ke Mekah, Adik ada cakap.. Kalau umi rindu Adik, umi ciumlah bantal adik. Saya terus membawa bantal busuknya dan sentiasa dibawa kemana-mana sahaja sepanjang berada di sana.
“Saya jadikan juga bantal busuk Adik ini alas kepala ketika berehat di depan Kaabah. Hanya bau pada bantal busuk inilah menjadi pengubat rindu saya padanya,” katanya.-K! ONLINE