ROM – Satu kajian yang dilakukan oleh Universiti Rome Tor Vergata menunjukkan bahawa terdapat bekas pesakit lelaki Covid-19 berhadapan dengan sindrom mati pucuk (ED).
Kajian yang dilakukan Prof. Emmanuele Jannini dan rakan sejawatnya itu diterbitkan dalam Jurnal Penyiasatan Endokrinologikal, yang mana ia menggariskan tiga punca masalah tersebut berlaku.
Tiga punca tersebut adalah masalah kesihatan secara umum, isu psikologikal dan kardio.
Pakar urologi dari Amerika Syarikat (AS), Dr. Judson Brandeis berkata, negara itu bimbang sekiranya pandemik Covid-19 akan menyebabkan sindrom ED tersebar luas.
“Sindrom ED berpunca daripada tekanan terhadap aliran darah, yang bermula di jantung, bergerak menerusi arteri besar dan mengalir menerusi salur darah kecil.
“Keadaan seperti diabetes, kadar kolesterol tinggi dan merokok menyebabkan kerosakan pada salur darah, menyebabkan ED berlaku. Begitu juga Covid-19,” katanya.
Mengulas lanjut, ujarnya, virus Covid-19 menukar sel dalam badan seseorang dan menggandakan bilangannya, sebelum ia merebak ke seluruh tubuh.
“Memandangkan tubuh kita belum pernah berhadapan dengan virus sedemikian, ia tidak mampu menghasilkan antibodi bagi tujuan pertahanan.
“Akibatnya, tubuh cuba menyerang virus itu secara rawak, sekali gus menghasilkan kerosakan terutamanya pada endotelium, iaitu lapisan sel lembut pada salur darah kita,” katanya.
Ia mengakibatkan salur darah mengecil dan membataskan aliran darah, menyebabkan ED berlaku. – Agensi