JOHOR BAHRU – Seorang pemuda berdepan detik cemas apabila terperangkap kira-kira 30 jam di dalam sebuah lubang dalam kejadian tepi Lebuh Raya Pasir Gudang berhampiran Taman Damansara Alif di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 11.20 pagi itu, mangsa, Kamarulzaman Mohd. Ali, 28, ditemui dalam keadaan lemah di dalam lubang sedalam kira-kira empat meter.
Difahamkan, mangsa keluar rumahnya pada pukul 5 pagi semalam untuk ke rumah kawannya di taman berkenaan.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Rafie Sareng berkata, bapa mangsa dimaklumkan kejadian itu kira-kira pukul 1.30 tengah hari semalam sebelum menghubungi talian kecemasan.
“Pada pukul 8.30 malam pihak polis menghubungi bomba untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang dilaporkan jatuh lubang.
“Pada pagi ini pihak polis menemui mangsa terperangkap di dalam lubang sedalam kira-kira 15 kaki sebelum pihak bomba melakukan operasi mengeluarkan mangsa,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Rafie berkata, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin bertindak melakukan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan tangga dan tali.
Katanya, mangsa ditemui dalam keadaan lemah serta cedera ringan sebelum diserahkan kepada pihak ambulans EMRS dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk rawatan kecemasan.-K! ONLINE