LONDON – Seorang tukang kebun terkejut apabila menemui wajah pelakon popular Hollywood, Al Pacino pada sebatang tiang kayu di Leeds, Britain, lapor akhbar The Sun UK baru-baru ini.
Penemuan itu dibuat oleh Kyle New, 27, semasa dia sedang menanam pokok buah-buahan berhampiran rumahnya.
New mendapati kesan tona gelap pada tiang kayu menyerupai wajah pelakon filem Scarface itu dan dia memuat naik gambar penemuannya itu di media sosial.
Sejak itu, ramai orang memberi cadangan kepadanya mengenai rupa pada batang kayu itu, antaranya kelihatan seperti Noel Gallagher, Sylvester Stallone dan Shane Macgowan.
“Pada saya, ia kelihatan seperti Al Pacino. 100 peratus. Saya tidak faham mengapa ada orang menyatakan ia nampak macam Marcus Rashford kerana tidak rupa sedemikian.
“Bagaimanapun, ada cadangan yang bagus juga daripada orang ramai,” katanya.
Al Pacino menjadi terkenal selepas melakonkan watak Michael Corleone daripada filem trilogi arahan Francis Ford Coppola, The Godfather.
Filem itu mengisahkan tentang kebangkitan mafia daripada keluarga Corleone di New York, Amerika Syarikat pada tahun 1940-an.
Bintang popular itu seterusnya melakonkan watak gengster Tony Montana dalam filem Scarface. – Agensi