PETALING JAYA – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), melancarkan kempen ‘Labur Kasih Sayang’ bagi menggalakkan rakyat Malaysia memulakan tabiat menyimpan sebagai satu tindakan kasih sayang dan tanggungjawab.
Sebagai permulaan, ASNB menerbitkan filem raya berjudul Amanah Sulung, yang menekankan nilai kebijaksanaan dan perancangan awal, seterusnya mengajak penonton memahami kepentingan perancangan kewangan serta kesan positifnya terhadap kehidupan.
ASNB turut melancarkan dua kempen bertemakan raya, pertama ialah Labur Tanda Kasih bagi memberi ganjaran kepada pelabur yang menetapkan Auto Labur di myASNB, dan melengkapkan pemotongan Auto Labur antara 24 Mac hingga 31 Mei 2025.
Ia memberi peluang buat pelabur memenangi duit raya dalam bentuk PIN Touch ‘n Go.
Kempen kedua, Labur Ceria Si Cilik pula mengajak ibu bapa untuk melabur dalam ASB atau ASB 2 bagi akaun anak-anak mereka, yang mana berdasarkan jumlah pelaburan terkumpul, seramai 3,000 pelabur terawal berpeluang memenangi unit percuma.
Ketua Pegawai Eksekutif & Pengarah Eksekutif ASNB, Fadzihan Abbas Mohamed Ramlee berkata, Hari Raya Aidilfitri adalah masa untuk semua menghargai insan yang paling bermakna dalam hidup.
“Menerusi Amanah Sulung, kami ingin memberi penghormatan kepada detik-detik pemberian penuh makna yang seringkali dilupakan, tetapi memberi impak besar dalam kehidupan.
“Di ASNB, kami percaya bahawa setiap langkah kecil dalam menabung boleh membawa kepada sesuatu yang lebih besar dan bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga untuk insan yang kita sayangi.
“Sempena Hari Raya ini, kami mahu mengajak semua untuk memahami kepentingan menabung dan kestabilan yang boleh dicapai menerusinya, serta terus komited bersama PNB dalam mempromosikan literasi kewangan dan membantu lebih ramai rakyat Malaysia membuat keputusan kewangan dengan yakin,” katanya dalam kenyataan. – KOSMO! ONLINE