MADRID – Pengurus Repsol Honda, Alberto Puig mengesahkan jaguh pasukan itu yang juga juara dunia bertahan, Marc Marquez cergas untuk diturunkan pada saingan kelayakan Grand Prix (GP) Andalusia pada saingan kejuaraan MotoGP di Litar Jerez esok.
Sebagai rekod, Marquez telah mengalami patah lengan kanan pada perlumbaan GP Sepanyol minggu lalu sebelum menjalani pembedahan segera pada Selasa.
Namun, pegawai perubatan pasukan memberi lampu hijau buat juara dunia enam kali itu untuk bersaing pada GP Andalusia selepas lulus ujian kecergasan yang dilakukan semalam.
Kata Puig, Marquez tidak mempunyai masalah untuk berlumba secara kompetitif pada GP Andalusia kali ini memandangkan ia dilangsungkan di litar yang sama seperti GP Sepanyol iaitu di Litar Jerez.
“Kalau saingan ini dilangsungkan di litar yang lain, mungkin situasinya agak sukar buat Marquez tetapi situasi sebaliknya dan dia bernasib baik kerana sudah menyesuaikan diri.
“Justeru, kami membuat keputusan untuk tidak membenarkannya menunggang jentera pada sesi ujian bebas hari ini (semalam) kerana mahu dia cergas seratus peratus pada aksi kelayakan esok (hari ini),” katanya.
Mengulas lanjut, Puig mengakui agak terkejut apabila pelumba bintang pasukannya itu diberi kebenaran untuk bersaing sekali gus membantu pasukan Repsol Honda yang gagal meraih keputusan diharapkan selepas minggu lalu.
“Kami sangat berterima kasih kepada doktor yang menjalankan pembedahan Marquez kerana dia melakukan tugas dengan cukup bagus. Bukan mudah untuk segera kembali apabila anda mengalami patah tangan tetapi itulah yang berlaku,” katanya. – AGENSI