SUBANG JAYA – Kerajaan Selangor sedang mengadakan perbincangan bersama Petronas bagi meminimakan impak gangguan bekalan gas susulan kejadian letupan saluran paip gas di Putra Heights baru-baru ini.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir. Izham Hashim berkata, gangguan itu telah menjejaskan kira-kira 8,000 unit kediaman dan premis komersial di sekitar Lembah Klang.
Menurut beliau, antara langkah penyelesaian jangka pendek yang dicadangkan adalah dengan menghantar gas menggunakan lori tangki bagi menampung keperluan harian.
“Kita sedang berbincang dengan pihak Petronas untuk mencari jalan terbaik agar bekalan gas tidak terus terputus, khususnya melibatkan kawasan industri dan kediaman,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Izham menjelaskan, jumlah keperluan gas harian dianggarkan sebanyak 330 juta kaki padu yang digunakan oleh empat stesen jana kuasa utama dan lebih 300 kilang serta pengguna domestik.
“Daripada jumlah itu, 200 juta kaki padu gas diperlukan oleh empat stesen jana kuasa utama iaitu Stesen Janakuasa Connaught Bridge, Pulau Indah, Sultan Salahuddin Abdul Aziz (KEV) di Kapar dan Putrajaya.
“Sementara 130 juta kaki padu gas lagi digunakan oleh kilang serta kediaman,” ujarnya.
Tambah beliau, dua daripada stesen jana kuasa berkenaan boleh beroperasi menggunakan arang batu dan minyak sebagai alternatif, namun dua lagi tidak boleh diubah dan terpaksa diletakkan dalam mod ‘standby’.
Dalam kejadian pada 1 April lalu, letupan saluran paip gas Petronas berlaku pada pukul 8.10 pagi menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celsius. – KOSMO! ONLINE