PUTRAJAYA – Syarikat konsesi termasuk Lebuh Raya Pantai Timur 2 Sdn. Bhd. (LPT2) diarah menggunakan segala peruntukan undang-undang yang sewajarnya untuk mendakwa individu atau pihak yang terlibat merosakkan pagar di mahkamah.
Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam kenyataannya berkata, langkah dibuat kerana perbuatan itu merupakan satu jenayah yang boleh menyumbang kepada kecederaan atau kehilangan nyawa
pengguna lebuh raya.
Siasatan KKR bersama Lembaga Lebuh Raya (LLM) mendapati kemalangan membabitkan haiwan ternakan di LPT2 berpunca daripada tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang merosakkan pagar lebuh raya.
Keadaan itu menyebabkan haiwan dengan mudah memasuki kawasan lebuh raya.
“Perbuatan memotong, meroboh atau mencuri pagar lebuh raya adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh memberi kesan buruk kepada pemandu di lebuh raya,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini.
KKR berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi berkaitan digesa menggiatkan operasi dan memantau dengan syarikat konsesi berkaitan bagi menangkap haiwan yang berkeliaran.
“KKR tidak akan berkompromi terhadap aspek keselamatan melibatkan infrastruktur lebuh raya, lebih-lebih lagi insiden haiwan ternakan memasuki lebuh raya sudah lama berlarutan.
“Ia kerap berlaku hingga menyebabkan kecederaan parah dan kehilangan nyawa,” katanya.
KKR memberitahu, pihaknya turut mengadakan operasi bersepadu bersama PBT, LLM, polis, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung (Perhilitan) dan Jabatan Veterinar bagi menangkap dan mengalihkan haiwan ternakan yang berkeliaran di lebuh raya dari semasa ke semasa.
Kosmo! pada 25 Januari lalu melaporkan nyawa pengguna LPT2 terus terancam dengan kehadiran haiwan ternakan dan binatang liar yang berkeliaran serta melintas lebuh raya itu angkara tindakan penceroboh yang merosakkan dan memotong pagar di sebahagian laluan tersebut.
Berdasarkan rekod LLM, sebanyak 102 kes kemalangan dilaporkan berlaku di LPT2 pada tahun 2019 berbanding 47 kes pada tahun sebelumnya.